DUNGUN 27 Julai – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah teruja dengan keupayaan kilang makanan ternakan milik RISDA Estates menghasilkan lima metrik tan sehari dengan anggaran 130 metrik tan sebulan sejak mula beroperasi Mei lalu.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kilang itu yang terletak di Bandar Al-Muktafil Billah Shah (AMBS) dekat sini turut membantu menyediakan kemudahan kepada para penternak memperoleh makanan ternakan dengan harga berpatutan.
Beliau berkata, kewujudan kilang itu juga berupaya menyemarakkan industri hiliran, selain menjadi pemangkin kepada kolaborasi antara anak syarikat RISDA iaitu RISDA Estates dengan Espek Livestock.
“Menerusi usahasama ini, RISDA Estates berperanan membekalkan makanan ternakan, manakala Espek Livestock sebagai pengusaha makanan.
“Kilang ini beroperasi sejak Mei lalu setelah mendapat permintaan tinggi terhadap makanan ternakan dalam kalangan pembeli tempatan, syarikat dan juga agensi-agensi berkaitan,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kilang Makanan Ternakan Durian Mas dan Kilang Sawit RISDA Durian Mas, dekat sini baru-baru ini.
Beliau kemudian meluangkan masa memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA Estates di pekarangan kilang berkenaan.
Turut hadir, Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Din Adam; Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad; Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif RISDA Estates, Abd. Aziz Jaafar; Pengerusi RISDA Estates, Datuk Mohd Salim Sharif dan Pengurus Besar KETENGAH, Omar Ismail.
Katanya, kilang makanan ternakan itu juga dilengkapi pelbagai mesin canggih dan berteknologi tinggi seperti drum dryer (kurangkan kelembapan), hammer mill (pemotongan fiber), mixing tank (campuran bahan mentah) dan pellet machine (memampat) yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran.
Menurutnya, kewujudan kilang itu turut berupaya meningkatkan industri makanan halal ternakan di negara ini.
Ismail Sabri turut merasmikan Kilang Sawit RISDA Durian Mas yang diurus sepenuhnya oleh RISDA Estates yang mampu memperoses 52 tan minyak sawit sejam serta menghasilkan 40,000 tan minyak sawit mentah setahun selain 11,000 tan isirong kelapa sawit setahun.
Beliau berkata, kilang berkenaan mencatat keuntungan sebanyak RM2.3 juta pada tahun lalu dengan keuntungan berjumlah RM19 juta dari 2006 hingga 2016.
Ismail Sabri juga berpuas hati dengan komitmen RISDA Estates yang bertanggungjawab mengurus tadbir kilang sawit tersebut termasuk dua lagi iaitu Kilang Sawit RISDA Keratong dan Kilang Sawit RISDA di Sungai Ambat.